Program Wacana Putra Bantu Tingkat Kelestarian Hijau UPM | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» BERITA » Program Wacana Putra bantu tingkat kelestarian hijau UPM

Program Wacana Putra bantu tingkat kelestarian hijau UPM

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

Foto oleh Marina Ismail

 

SERDANG, 2 Mei – Fakulti Pengajian Alam Sekitar dengan kerjasama Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Wacana Putra bersama Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang bagi memberi pendedahan kepada warga UPM dan masyarakat setempat mengenai usaha ‘Membudayakan Teknologi Hijau.’

Program Wacana Putra “Sustainable Development: Deliverology of Sustainabilityitu, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini menggalakkan warga kampus mengamalkan gaya hidup yang lestari.

“Kesedaran awam merupakan faktor utama yang mempengaruhi kejayaan pembangunan teknologi hijau. Usaha ini memerlukan perubahan pemikiran masyarakat.

“Penglibatan badan korporat menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat serta sumbangan dana secara tidak langsung akan menggalakkan kesedaran untuk bersama-sama memupuk budaya menghayati teknologi hijau,” katanya.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris pula berkata pelaksanaan kelestarian hijau merupakan satu daripada agenda utama UPM.

“Banyak penyelidikan UPM tertumpu ke arah kelestarian hijau seperti penuaian air hujan di kolej kediaman, program waste bank, Kempen Kesedaran Serdang Biomass Town, dan program Recycle@U.

“Penarafan bintang pengurusan pusat tanggungjawab turut mengambil kira komponen kelestarian hijau sebagai kriteria pemarkahan dalam belanja mengurus, pengurangan bil elektrik dan air serta penggunaan kertas,” katanya.

Beliau berkata ia adalah satu daripada usaha universiti untuk memastikan kampus Serdang dan Bintulu berada dalam suasana kelestarian hijau.

“Saya berharap agar warga UPM dapat menerapkan nilai ihsan untuk menjaga alam sekitar,” katanya.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang melancarkan program Sikal Elektrik Rakyat 1 Malaysia (SER1M), UPM dengan menyerahkan basikal SER1M kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Ameerul Ishak sebagai simbolik mewakili seluruh pelajar UPM.

UPM menerima 200 unit basikal elektrik dalam program SER1M itu yang dilaksanakan oleh KeTHHA melalui Green Technology Corporation bertujuan mempromosikan teknologi di kalangan golongan belia.

Beliau turut menyampaikan hadiah pertandingan Kitar Semula kategori fakulti dan kolej kediaman di bawah program Putra Green Campus anjuran Sekretariat Pembangunan Teknologi Hijau, MPP, UPM.

 

Tarikh Input: 05/05/2017 | Kemaskini: 05/05/2017 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEUAAR~