Kanak-kanak 4 Hingga 5 Tahun FACE Meriahkan Galeri Merdeka@PSPK UPM | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» BERITA » Kanak-kanak 4 hingga 5 tahun FACE meriahkan Galeri Merdeka@PSPK UPM

Kanak-kanak 4 hingga 5 tahun FACE meriahkan Galeri Merdeka@PSPK UPM

Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Jurufoto: Saleha Haron 

SERDANG, 13 Sept – 43 kanak-kanak berumur empat hingga lima tahun dari Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (FACE), Universiti Putra Malaysia (UPM) memeriahkan Galeri Merdeka@PSPK UPM menerusi lawatan mereka di sini, hari ini.

Program lawatan ini diadakan bukan sahaja untuk menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, tetapi juga mampu menambah pengetahuan dan memberikan pengalaman baru kepada kanak-kanak khasnya.

Pada lawatan ini, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik buat kanak-kanak ini seperti aktiviti mewarna, nyanyian lagu kebangsaan, bacaan ikrar Rukun Negara, pameran maklumat kemerdekaan dan perkongsian kitar semula.

Menurut Pereka, Seksyen Media Kreatif dan Visibiliti Korporat, PSPK, UPM, Muhammad Alif Akram Mohd Isnain, berkata lawatan kanak-kanak FACE UPM ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan serta sambutan Hari Malaysia di PSPK UPM, tetapi mendidik kanak-kanak dari kecil semangat kemerdekaan.

"Kita juga mengetengahkan peranan PSPK sebagai medium komunikasi di UPM serta memperkenalkan Seksyen Kelestarian dan Kampus Hijau di bawah PSPK UPM.

“Diharapkan pembukaan Galeri Merdeka@PSPK UPM ini mampu memberikan input bermakna kepada pihak yang terlibat, khususnya kanak-kanak dan golongan muda terhadap pentingnya kitar semula untuk kelestarian alam, seterusnya menyemai semangat merdeka dalam diri bangsa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif, Makmal Perkembangan Kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM, Husna Zulkifli berkata, aktiviti lawatan ini memberikan gambaran kepada kanak-kanak tentang bulan kemerdekaan yang disambut dengan meriah bukan sahaja oleh mereka di bilik darjah, tetapi juga masyarakat secara amnya.

“Melalui lawatan ini, kanak-kanak bukan sahaja didedahkan dengan maklumat kemerdekaan, tetapi mereka dapat mempelajari sesuatu yang baru dan bermakna. Program sebegini penting untuk diteruskan kerana proses pengajaran dan pembelajaran secara praktikal mampu membantu kanak-kanak untuk bersosialisasi,” katanya.

Dalam pada itu, Galeri Merdeka@PSPK masih dibuka kepada semua warga UPM sehingga 16 September ini untuk melihat hasil kreativiti staf PSPK menggunakan barangan terpakai dalam menghasilkan maklumat kemerdekaan.

Pembukaan Galeri Merdeka@PSPK UPM diharapkan bukan sahaja mampu memberikan pendedahan tentang sejarah yang menjadikan negara kita aman sentosa, tetapi juga memupuk semangat cinta akan negara dalam diri masyarakat, khususnya warga UPM.

Tarikh Input: 14/09/2023 | Kemaskini: 14/09/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEdQAV~