Galeri Merdeka@PSPK UPM Dedah Sejarah Malaysia Kepada 33 Kanak-kanak FACE | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» BERITA » Galeri Merdeka@PSPK UPM dedah sejarah Malaysia kepada 33 kanak-kanak FACE

Galeri Merdeka@PSPK UPM dedah sejarah Malaysia kepada 33 kanak-kanak FACE

Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Jurufoto: Saleha Haron 

SERDANG, 12 Sept – Galeri Merdeka@PSPK, Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi pendedahan sejarah Malaysia kepada 33 kanak-kanak dari Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (FACE), UPM yang dianjurkan oleh Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM.

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM, Siti Nor Abd Rahim berkata, lawatan ini merupakan kegiatan pembelajaran dan pengajaran yang seronok untuk kanak-kanak, sekali gus membuktikan bahawa pembelajaran bukan sekadar di dalam kelas sahaja, tetapi boleh diteruskan juga dengan aktiviti di luar kelas.

“Lawatan ini membuka peluang kepada kanak-kanak untuk menambah pengetahuan tentang Malaysia serta memberi pendedahan terhadap permainan tradisional dan kitar semula,” katanya.

Program ini dianjurkan untuk menyemarakkan lagi Hari Merdeka 2023 dan Hari Malaysia pada 16 September ini, sekali gus memberikan pendedahan kepada kanak-kanak tentang kemerdekaan negara.

Selain itu, antara aktiviti yang dijalankan ialah pameran maklumat kemerdekaan, aktiviti mewarna, permainan tradisional dan perkongsian kitar semula.

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, FEM, UPM, Nurhayatul Nira Ramli berkata, program sebegini perlu diteruskan untuk memberi pendekatan yang bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak bagi memupuk rasa cinta mereka kepada negara.

“Kanak-kanak perlu tahu akar umbi kemerdekaan kerana mereka merupakan generasi muda yang akan menjadi pewaris bangsa serta penyambung kecemerlangan negara pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Galeri Merdeka@PSPK di foyer Canselori Putra masih dibuka kepada semua warga UPM sehingga 16 September ini untuk melihat hasil kreativiti staf PSPK menggunakan barangan terpakai dalam menghasilkan maklumat kemerdekaan.

Tarikh Input: 13/09/2023 | Kemaskini: 13/09/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEdVAg~