Usaha Jadikan TVET Pilihan Pertama Belia | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Usaha jadikan TVET pilihan pertama belia

Usaha jadikan TVET pilihan pertama belia

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di BERITA HARIAN pada 5 Februari 2022.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM

Penubuhan Badan Koordinasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) menjadi inisiatif terkini kerajaan untuk menjayakan agenda TVET, sekali gus memperkukuh modal insan negara.

Badan yang julung kali ditubuhkan itu dianggotai 12 persatuan berdasarkan sektor industri bersetuju berganding bahu menjayakan agenda TVET negara, manakala Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara turut bersetuju cadangan penarafan tunggal TVET serta pelaksanaan TVET Collaboration Hub membabitkan 11 kementerian diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

la bakal menjadi platform kerjasama strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi serta industri.

Kerajaan cukup serius dalam soal memperkasa TVET sebagai kerjaya pilihan rakyat khususnya belia seperti dibuktikan dalam Bajet 2022 yang memperuntukkan RM6.6 bilion melalui pelbagai inisiatif pemerkasaan TVET oleh kementerian dan agensi berkaitan.

Kita perlu melihat hala tuju landskap dan pembangunan negara dalam pelbagai sektor sekurang kurangnya untuk 20 atau 30 tahun kerana bukan mudah mencapai dan mengekalkan status negara maju berpendapatan tinggi mengikut acuan sendiri menggunakan kepakaran tempatan.

Justeru, inisiatif melatih anak muda tempatan agar mahir dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional sangat mustahak kerana kita perlukan perancangan rapi bagi mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Bagaimanapun, apa diumumkan kerajaan perlu disusuli fasa pelaksanaan efisien, iaitu institut latihan kemahiran awam dan swasta merebut segala kemudahan serta inisiatif disediakan untuk melatih dan melahirkan lulusan TVET berdaya tahan serta berkualiti tinggi.

Penyedia latihan perlu memberikan perhatian serius terhadap kurikulum atau silibus agar relevan dengan keperluan semasa serta masa hadapan. Di samping teori, pelatih perlu didedahkan aspek praktikal dan pengalaman latihan di industri kerana kerja teknikal banyak memerlukan pengalaman amali supaya boleh aplikasi teori lebih efektif dan berkesan.

Pihak industri juga diharap dapat menawarkan peluang pekerjaan lebih baik dengan gaji dan insentif setimpal untuk menarik minat lepasan TVET. la juga motivasi penting kepada pekerja meningkatkan kemahiran termasuk meningkatkan minat belia menjadikan bidang itu sebagai pilihan utama.

Bagaimanapun perlu diakui. walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk penjenru11aan semula program TVET, persepsi negatif yang menganggapnya sebagai pilihan kedua atau terakhir dan bidang untuk individu kurang cemerlang dalam akademik. masih membelenggu sebahagian belia dan ibu bapa.

Justeru. selain belia dan ibu bapa diharap membuka mata untuk melihat peluang masa hadapan disediakan kepada lulusan TVET. kerajaan dicadangkan untuk menetapkan gaji minimum lebih tinggi atau setara dengan permintaan.

Dengan pelbagai inisiatif dan strategi berterusan kerajaan serta sokongan padu industri, TVET diharap akan menjadi bidang pilihan utama belia sekali gus dapat memperkukuh modal insan negara.

 

Tarikh Input: 28/03/2022 | Kemaskini: 28/03/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXFZWA0~