Meningkatkan Ketepatan Data Dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) Negara: Menuju Transformasi Berasaskan Pengurusan Data Yang Efisien | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Meningkatkan Ketepatan Data dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) Negara: Menuju Transformasi Berasaskan Pengurusan Data yang Efisien

Meningkatkan Ketepatan Data dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) Negara: Menuju Transformasi Berasaskan Pengurusan Data yang Efisien

Oleh YM Tengku Norhuda Tengku Muda

 

 

Dalam era digital yang pesat berkembang, penggunaan sistem Pengkalan Data Utama (PADU) negara telah menjadi keperluan penting bagi kerajaan Malaysia di dalam mengurus dan menganalisis data rakyat dengan berkesan. Sistem ini tidak hanya menjadi inti bagi operasi kerajaan, tetapi juga berperanan dalam membuat keputusan strategik, merancang dasar, dan memahami keperluan rakyat. Namun, ketepatan data boleh menjadi isu yang mencemaskan, yang boleh mengganggu integriti dan kebolehpercayaan analisis data. Data yang tidak tepat atau tidak lengkap boleh menghasilkan kesimpulan yang salah atau keputusan yang merugikan. Oleh yang demikian, penekanan terhadap ketepatan data adalah penting bagi menjamin keberkesanan dan keberlanjutan pembangunan negara.

 

Kesilapan pengguna dalam memasukkan data merupakan punca utama ketidakketepatan data. Ini boleh berlaku disebabkan oleh kesedaran yang rendah, atau masalah teknikal semasa pengumpulan data. Kekeliruan data dan isu privasi juga menjadi halangan dalam perkongsian data antara rakyat dan kerajaaan. Kebimbangan akan berlakunya ketirisan data menjadikan rakyat cenderung untuk tidak berlaku jujur semasa memasukkan data. Di samping itu, sistem PADU turut melibatkan integrasi 314 set data dari pelbagai agensi kerajaan bagi membentuk profil individu yang komprehensif. Sistem PADU yang tidak terintegrasi dengan baik boleh mengakibatkan penyalinan data yang tidak tepat atau kehilangan data semasa proses pemindahan.

 

Beberapa strategi boleh digerakkan dalam usaha menangani masalah ketidaktepatan data PADU. Kerajaan perlu mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya ketepatan data dan amalan terbaik untuk memelihara ketepatan data. Selain itu, kawalan keselamatan data perlu diperketatkan dari semasa ke semasa agar bebas dari pencerobohan. Pembangun sistem juga perlu menggalakkan integrasi sistem yang lebih menyeluruh untuk mengelakkan penyalinan data yang tidak tepat atau kehilangan data semasa pemindahan data.

 

Meningkatkan ketepatan data dalam sistem PADU adalah langkah penting dalam melonjakkan transformasi berasaskan data yang efisien dan membawa ke arah pembangunan yang berkesan. Dengan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi tentangan dalam memelihara ketepatan data, kerajaan dapat memanfaatkan data secara optimal untuk membuat keputusan yang tepat, merancang dasar yang efektif, dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Natijahnya, usaha ini bukan hanya pelaburan dalam teknologi, tetapi juga merupakan pelaburan dalam masa depan yang lebih baik bagi Malaysia.

Tarikh Input: 01/04/2024 | Kemaskini: 01/04/2024 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEeFA3~