Ubah Stigma Pendidikan STEM Susah, Pupuk Minat Melalui Fun Learning | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Ubah stigma pendidikan STEM susah, pupuk minat melalui fun learning

Ubah stigma pendidikan STEM susah, pupuk minat melalui fun learning

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) baru-baru ini oleh Kementerian Ekonomi, antara usaha bagi menyediakan pelajar untuk Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), pihaknya dalam usaha melaksanakan kurikulum Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang mempunyai komponen bidang teknologi digital bagi meningkatkan serta menambah baik kemasukan pelajar dalam bidang tersebut.

Apa yang membimbangkan, pendidikan STEM kini bukanlah pilihan pelajar dan perkara ini sangat membimbangkan dan perkara ini harus diberi perhatian kerana pendidikan itu adalah satu penerokaan secara kendiri.

Pendidikan STEM adalah penting dalam persediaan pelajar menghadapi 4IR yang merupakan cabaran baharu yang menguasai dalam pelbagai sektor pekerjaan terkini.

Satu ketika dahulu, pendidikan STEM telah menjadi fenomena apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) memperkenalkan Program Angkasawan Negara Malaysia pada tahun 2006 yang telah melahirkan ikon Angkasawan Malaysia, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Menurut Dekan Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nor Azwady Abd Aziz berkata, perkara itu dianggap demikian kerana ianya bermula pada peringkat awal pembelajaran seorang pelajar.

“Jika di peringkat pendidikan awal pendidikan STEM telah dimomokkan susah perkara ini akan berterusan serta akan memberi kesan kepada pelajar berkenaan dan ini tidak dapat memupuk minat pelajar menerokai bidang berkenaan,” katanya.

Beliau berpandangan, pencarian maklumat STEM secara kendiri oleh pelajar antara adalah satu cara untuk mempertingkatkan pengetahuan serta minat pelajar tersebut dalam STEM.

“Apabila penerokaan kendiri dilakukan secara santai, pelajar itu dengan sendirinya akan mempunyai minat dan tidak akan mempunyai tekanan. Ini secara langsung akan memupuk minat mereka dalam bidang STEM,” katanya.

Beliau percaya apabila pendidikan STEM didedahkan dengan fun learning ianya mampu ‘mencuri’ perhatian pelajar daripada sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Di samping itu, ia dapat menjana minat pelajar dalam bidang STEM.

Selain itu, Prof. Madya Dr. Nor Azwandy berkata, perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh iaitu dari segi perkembangan subjek STEM itu sendiri dan pendekatan yang diaplikasikan oleh tenaga pengajar dalam memupuk minat di peringkat sekolah rendah dan menengah. 

“Contohnya di Finland dalam sistem pendidikannya telah berjaya menghasilkan pelajar yang berkembang dalam sistem STEM kerana sistem pendidikannya yang tidak mengejar kejayaan akademik. Untuk tahun pertama pendidikan pelajar di sana, mereka perlu mengenal pasti kecenderungan minat sendiri.

“Untuk memupuk minat STEM kepada pelajar di Malaysia bukan sahaja melibatkan di peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan menengah malah perlukan kerjasama secara menyeluruh.

“STEM yang positif akan mendapat perhatian pelajar semula dengan sistem terkini yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan dengan mengaplikasikan penilaian secara menyeluruh bagi menggalakkan pelajar untuk belajar kerana ilmu dan tidak berorientasikan kepada peperiksaan,” katanya.

Beliau yang juga seorang pakar biologi juga akui generasi masa kini menganggap bidang STEM tiada karier dan tidak glamour di pasaran kerja turut mengundang mereka terus beranggapan berkecimpung dengan bidang STEM tidak menjana pendapatan.

“Sebenarnya STEM mempunyai pelbagai karier dan kerana ianya kurang mendapat perhatian jadi masyarakat menganggap ianya tiada karier contohnya dalam menyediakan perisian atau aplikasi ianya memerlukan kemahiran STEM sebenarnya,” katanya.

Beliau juga berpendapat pendidikan STEM turut perlu dijalankan secara hands on supaya pelajar bukan sahaja belajar secara teori malah secara praktikal untuk mereka merasai dan melihat sendiri bagaimana pendidikan STEM dijalankan.

“Saya ambil pengalaman saya sendiri iaitu melalui satu program komuniti yang saya ikuti dan saya berkongsi mengenai kajian saya berkenaan cacing tanah dan pada awalnya mereka berasa geli untuk mengendalikan.

“Tetapi apa yang saya lakukan adalah saya fokuskan mengenai peranan serta faedahnya dalam kompos dan dari situ mereka kemudiannya rasa teruja memegang cacing tanah tersebut.

“Ini juga adalah satu kaedah untuk menimbulkan rasa minat dan menerokai sendiri melihat di sudut yang positif dan secara langsung membina keyakinan untuk mereka meneruskan pengajian dalam bidang STEM,” katanya.

Tarikh Input: 08/11/2023 | Kemaskini: 08/11/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEbSAZ~