Kepentingan Pengurusan Risiko Organisasi | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Kepentingan Pengurusan Risiko Organisasi

Kepentingan Pengurusan Risiko Organisasi

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat Definisi “Risiko” adalah Kemungkinan atau bahaya kerugian, kemungkinan mendapat bahaya atau ke­rugi­an; akibat atau hasil yang kurang menyenangkan.

Risiko juga merujuk kebarangkalian berlakunya ancaman atau bencana yang boleh memberi impak kepada kesinambungan operasi perkhidmatan seterusnya menjejaskan keupayaan sesebuah organisasi mencapai visi, misi, objektif atau matlamat yang telah ditetapkan.

Pengurusan risiko amat penting kerana membantu organisasi dalam membuat perancangan awal dan mengenalpasti implikasi risiko bagi memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan matlamat organisasi tercapai.

Setiap organisasi perlu mengenalpasti implikasi risiko sama ada secara positif atau negatif. Implikasi negatif membuka ruang kepada pengurusan risiko untuk mengenalpasti peluang yang ada serta pilihan alternatif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan program/aktiviti mencapai KPI yang ditetapkan.

Pengurusan risiko juga merupakan susunan strategi efektif bagi mengurangkan implikasi negatif terutama melibatkan keselamatan nyawa, kewangan, aset dan reputasi organisasi. Pentaksiran risiko yang melibatkan proses mengenal pasti risiko, menganalisis risiko dan menilai risiko sesebuah organisasi mampu mengurangkan implikasi negatif.

Contohnya, penyertaan pelaburan anak syarikat dalam sesuatu projek terdedah kepada risiko kerugian kewangan dan reputasi yang negatif jika tidak mencapai keuntungan yang sewajarnya. Analisis awal risiko yang dibuat mampu mengurangkan kesan ini serta boleh memberikan keuntungan.

Selain itu, pengurusan risiko organisasi yang berkesan membolehkan sesebuah organisasi menangani cabaran Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity (VUCA) iaitu kemeruapan, ketidak tentuan, kerumitan dan kabur yang mengambarkan cabaran pada masa kini dan masa depan.

Keghairahan menetapkan KPI tanpa mengambilkira VUCA boleh menjejaskan pencapaian matlamat, misi dan visi organisasi. Setiap pernyataan KPI perlu diteliti dan disesuaikan dengan pelbagai situasi sebagai contoh isu penularan Covid19 yang sangat menguji keutuhan operasi sesebuah organisasi sebelum ini.

Peri pentingnya pengurusan risiko pada masa kini menjalankan analisis ke atas risiko utama (key risks) sehingga wujudnya arahan dan dokumen untuk melaksanakan pengurusan risiko.

Persoalan yang timbul sejauh manakah pemahaman, penghayatan dan pelaksanaan pengurusan risiko di sesebuah organisasi. Siapakah yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam tadbir urus pengurusan risiko, adakah melibatkan pihak tertentu atau semua pihak perlu memberi komitmen dan terlibat secara langsung terutama risiko tahap tinggi yang berulang setiap tahun.

 

Oleh:

Din bin Ayub
Ketua Seksyen Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 16/06/2023 | Kemaskini: 16/06/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEbQAN~