Awasi Bahaya Lelap Sejenak Ketika Memandu Pulang Beraya | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Awasi Bahaya Lelap Sejenak Ketika Memandu Pulang Beraya

Awasi Bahaya Lelap Sejenak Ketika Memandu Pulang Beraya

Oleh: Dahlan Ismail Abu Bakar
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia


Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, kebanyakan perantau mula merancang perjalanan mereka untuk beruti, sama ada pulang ke kampung atau kediaman ibu bapa.

Kebanyakkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mengambil inisiatif menyediakan kemudahan pengangkutan untuk menghantar mahasiswa pulang ke kampung sempena musim perayaan tetapi tertumpu kepada terminal pengangkutan awam terdekat atau lapangan terbang.

Inisiatif serampang dua mata iaitu memelihara kebajikan pelajar dan keselamatan mahasiswa pulang berhari raya.

Namun, inisiatif yang dimainkan oleh IPT ini tidak menyeluruh, sebaliknya untuk sebahagian mahasiswa sahaja. Selebihnya ada yang memilih untuk menunggang motosikal atau memandu kenderaan sendiri selain dijemput oleh ahli keluarga masing-masing. Tidak kira apa pun kaedah pengangkutannya, tujuannya adalah ingin sampai ke kampung halaman dengan selamat untuk beraya.

Dalam hal ini, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi keselamatan mahasiswa atau perantau muda ini dijalan raya, pertamanya ketersediaan jalan raya untuk menerima aliran trafik yang tinggi. Kita sedia maklum kerja menyelenggara jalan raya seperti kerja menurap semula atau menambah lorong tentunya memakan masa yang lama, mungkin melewati musim perayaan ini.

Bagi keadaan begini, pengguna berharap penyediaan papan tanda keselamatan disediakan secukupnya serta laluan kecemasan dirancang baik untuk digunakan sewaktu kecemasan. Pastinya kita tidak ingin tragedi yang berlaku dimusim perayaan lalu berulang.

Kedua, sikap pengguna jalan raya yang lain semasa dijalan raya boleh menjadi punca kepada kecelakaan orang lain. Mungkin kita rasa itu adalah cara pemanduan biasa, namun dalam keadaan tertentu seperti aliran trafik yang tinggi atau cuaca yang tidak baik, anggapan begitu boleh menyusahkan orang lain.
Tahun sebelum COVID-19 melanda, kerajaan melaksanakan operasi khas sebagai kempen menggalakkan pemandu memandu secara berhemahmenerusi Ops Sikap da Ops Selamat.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan lain-lain pihak berkuasa terus berusaha memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalanraya, bertimbang rasa, berhemah dan berhati-hati ketika memandu.

Ketiga, kesedaran individu terutama mahasiswa sendiri amat penting untuk memastikan mereka sentiasa siaga sepanjang perjalanan, seperti mendapat rehat secukupnya, bertenaga dan merancang perjalanan sebaik mungkin.

Memandu ketika berpuasa mendedahkan pemandu atau penunggang kepada risiko lelap sejenak (mikro sleep) semasa memandu. Fenomena ini dikatakan menjadi antara punca utama kemalangan maut masa kini.

Justeru, mahasiswa dan perantau muda perlu bijak merancang perjalanan mereka. Jika menunggang motosikal secar berkonvoi, sentiasa mengamalkan sikap tertib dan tidak merempit, berehat di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) serta tidak terburu-buru untuk sampai ke destinasi.

Sebaiknya, mereka termasuk pengguna jalan raya mematuhi jadual cadangan perjalanan dikeluarkan pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), JPJ, PDRM dan syarikat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi melancarkan lalu lintas terutama di lebuhraya menjelang cuti Aidilfitri.

Tarikh Input: 24/05/2023 | Kemaskini: 24/05/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXFZWAd~