WARTAWAN UPM RAIH IJAZAH KELAS PERTAMA | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» BERITA » WARTAWAN UPM RAIH IJAZAH KELAS PERTAMA

WARTAWAN UPM RAIH IJAZAH KELAS PERTAMA

Oleh: Nazrul Rapail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Lingustik Melayu)

SERDANG, 21 Mac – Sesi ketiga Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Kali ke-45 hari ini menyaksikan wartawan daripada Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM menerima segulung ijazah kelas pertama Bacelor Komunikasi dalam pengkhususan Kewartawanan.

Graduan Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Nurul Ezzaty Mohd Azhari, 25 juga turut menerima hadiah pelajar terbaik Program Bacelor Komunikasi.

Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai wartawan sambilan BERNAMA itu meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ibu bapa, rakan-rakan yang banyak membantunya dalam menghasilkan kajian tesis.

Walaupun begitu, beliau akui banyak rintangan yang perlu dihadapinya sebelum menjadi seorang graduan bacelor, beliau pernah jatuh sakit ketika hari peperiksaan dan terpaksa berulang-alik ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) untuk mendapatkan rawatan.

Beliau tetap tabah dan usaha itu membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh dekan di setiap semester.

"Saya berpegang pada prinsip bahawa hasil tidak akan mengkhianati usaha. Jadi setiap usaha yang kita berikan dalam sesuatu perkara sebenarnya akan ada hasil kejayaan yang menanti tidak kira besar atau kecil,” katanya.

Beliau yang hampir sebulan bekerja di PSPK meluahkan rasa gembira kerana dapat berbakti semula kepada universiti setelah tamat bergraduat selaras dengan moto UPM "Berilmu Berbakti".

Baginya, ini adalah rezeki daripada Allah S.W.T kerana memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan jiwanya sebagai seorang wartawan sejurus sahaja menamatkan pengajian pada tahun lepas.

Beliau tidak lupa juga atas ruang dan peluang yang diberikan oleh pihak PSPK yang sentiasa menyokong graduan UPM itu sendiri dengan membuka peluang untuk beliau berkhidmat kepada Universiti.

"Insha Allah saya akan cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik buat PSPK dan UPM,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 21/03/2022 | Kemaskini: 12/04/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEZEAh~