
SERDANG, 29 April – Sambutan Rumah Terbuka @Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM) berlangsung meriah baru-baru ini dengan kehadiran lebih 300 tetamu, terdiri daripada Ketua Pentadbir, Ketua Pentadbir Pusat Tanggungjawab (PTJ), staf PTJ serta mantan staf PSPK.
Majlis itu diadakan sempena Majlis Sambutan Mega Raya Aidilfitri 2025 UPM, bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga universiti.

Pengarah PSPK, Prof. Madya Dr. Dahlia Zawawi, berkata majlis tersebut secara langsung dapat mengukuhkan ukhwah antara staf dan PTJ.
“Harapan saya agar semangat kebersamaan yang disemai melalui sambutan ini dapat diteruskan dan dijadikan aktiviti tahunan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada PSPK malah kepada seluruh PTJ di UPM,” katanya.
Antara aktiviti utama yang dianjurkan ialah Pertandingan Dekorasi Food Station Terbaik, yang dinilai berdasarkan kreativiti hiasan serta keperincian penerangan dekorasi mengikut konsep yang ditetapkan oleh juri, iaitu Zon Neptune dan Zon Zuhal.

Majlis turut meraikan staf yang menerima cahaya mata baharu, iaitu Pegawai Seksyen Perancangan Strategik & Pengurusan Risiko, Noor Hasfalina Abu Hassan dan Jurufoto Seksyen Media Kreatif & Penjenamaan, Muhammad Najman Saleh.

Selain itu, sesi memotong kek ulang tahun turut diadakan bagi meraikan staf yang menyambut hari lahir pada bulan Jan hingga April 2025.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pengurusan Strategik), PSPK, UPM, Prof. Madya Ts. Dr. Nur Izura Udzir dan Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), PSPK, UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed.
Tarikh Input: 29/04/2025 | Kemaskini: 29/04/2025 | eszereen

Tingkat 3, Bangunan Canselori Putra
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM, Serdang
Selangor Darul Ehsan