Ambil Dos Penggalak Percepat Capai Fasa Endemik | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Ambil dos penggalak percepat capai fasa endemik

Ambil dos penggalak percepat capai fasa endemik

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di BERITA HARIAN pada 4 Mac 2022.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM

KEPUTUSAN Kementerian (KKM) tidak melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak yang ditetapkan sehingga 31 Mac ini kepada penerima vaksin Sinovac adalah wajar dan tepat pada masanya.

Melihat kepada peningkatan kes jangkitan harian COVID-19 ketika ini, sudah tiba masa kerajaan perlu tegas dan mewajibkan pengambilan dos penggalak kepada semua individu dewasa di negara ini kerana ia membabitkan keselamatan nyawa individu lain.

Data terkini menunjukkan lapan negeri mencatat penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus dengan paling tinggi di Putrajaya, iaitu mencecah 67 peratus, diikuti Kuala Lumpur (65 peratus). Negeri lain yang mencatat penggunaan melebihi 50 peratus ialah Kelantan, Johor, Melaka, Perlis, Selangor dan Sabah. Selain itu, pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan dilapor terus meningkat.

Data ini sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan semua pihak yang ancaman COVID-19 belum berakhir.

Keengganan individu mengambil dos penggalak dibimbangi meningkatkan lagi jangkitan dan kematian sehingga boleh menjejaskan perancangan negara memasuki fasa endemik.

Keengganan penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak amat mengejutkan dan sangat tidak wajar mereka bimbang dengan kesan pengambilannya hanya berpandukan keraguan tidak munasabah.

Hakikatnya, majoriti rakyat semakin memahami keperluan untuk menerima COVID-19 adalah penyakit yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia influenza H1N1 yang tercetus pada 2009 dan kemudian menjadi endemik.

Bagaimanapun keengganan sebahagian anggota masyarakat menerima dos penggalak mengecewakan kerana ia bakal mengganggu proses kehidupan dalam fasa endemik kelak.

Berdasarkan trend peningkatan kes, jika masih ramai tidak mengambil dos penggalak, keadaan pasca pandemik pasti tidak akan berubah, iaitu kadar jangkitan terus meningkat dan tidak mustahil semakin ramai terpaksa menjalani kuarantin akibat dijangkiti COVID-19.

Walaupun KKM melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dengan penetapan individu 18 tahun ke atas yang menerima dos penggalak dan menjadi kontak rapat pesakit COVID-19 tidak perlu lagi menjalani Perintah Pemantauan dan Pemerhatian (HSO) jika tak bergejala, namun apa jaminan mereka tidak akan menyebarkan virus berkenaan.

Kesedaran diri ini sangat penting demi keselamatan diri, keluarga dan anggota masyarakat yang lain di samping membuka laluan untuk kerajaan melonggarkan lagi SOP untuk rakyat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Perluasan kadar vaksinasi boleh dicapai jika semua anggota masyarakat memberi kerjasama baik, termasuk peranan ibu bapa dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang sedang berlangsung.

Oleh itu, jika masih ramai enggan mendapatkan vaksin lengkap termasuk dos penggalak, pendekatan memujuk tidak boleh diteruskan lagi, sebaliknya kerajaan kini boleh memasuki fasa untuk 'memaksa' masyarakat mendapatkan dos penggalak dengan segera.

Sudah tiba masanya untuk KKM bertegas serta tidak bertolak ansur dengan sikap acuh tak acuh individu yang enggan mengambil dos penggalak.

Tarikh Input: 28/03/2022 | Kemaskini: 02/06/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXFZVAV~