S.W.I.F.T Tingkat Integriti Penjawat Awam | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » S.W.I.F.T tingkat integriti penjawat awam

S.W.I.F.T tingkat integriti penjawat awam

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di BERITA HARIAN pada 16 Februari 2022.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM

SETIAP penjawat awam bertanggungjawab memelihara dan memperkasa integriti serta imej perkhidmatan awam. Isu seperti rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa sering menjejaskan reputasi sektor awam negara ini.

Ia mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan penjawat awam menyediakan perkhidmatan yang cekap dan efisien.

Untuk itu, penjawat awam perlu menghayati dan menerapkan lima prinsip S.W.I.F.T yang diperkenalkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, iaitu speed (pantas), world class knowledge (pengetahuan bertaraf dunia), inspirational (memberi inspirasi), flexible (fleksibel) dan technology-based (berasaskan teknologi).

Sebagai tulang belakang kerajaan, perkhidmatan awam dilihat sebagai tiang seri pentadbiran negara yang sentiasa mendukung aspirasi kerajaan memerintah melalui pelaksanaan semua agenda dan inisiatif yang sudah dan sedang dirancang.

Oleh itu, setiap agensi kerajaan terutama ketua jawatan dan penjawat awam perlu mengorak langkah berpaksikan lima prinsip ini supaya dapat memacu kecemerlangan organisasi masing-masing.

Ketika ini negara memerlukan perkhidmatan awam paling cekap dan efisien supaya sebarang inisiatif kerajaan dalam meningkatkan prestasi ekonomi negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat tidak terganggu.

Justeru, penjawat awam perlu memberi perhatian kepada keperluan untuk memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya dapat memberikan hasil kerja yang cermat, cekap, berkualiti dan profesional.

Untuk itu, semua agensi awam wajar memberi fokus kepada aspek latihan dan penambahbaikan kemahiran warga kerja supaya mereka bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Pada hakikatnya kejayaan atau kegagalan sesebuah agensi banyak bergantung kepada kehebatan dan pengaruh ketua organisasi. Justeru, setiap ketua jabatan perlu menjadi suri teladan yang sentiasa memberi inspirasi dan menyuntik semangat kepada anggota bawahannya.

Dalam konteks ini budaya kerja berpasukan, saling bantu-membantu serta bekerja dengan ikhlas demi rakyat dan negara atas semangat Keluarga Malaysia perlu dijadikan formula kejayaan setiap agensi.

Dalam pada itu elemen fleksibel juga wajar diangkat sebagai ruang dan peluang untuk kita menyalurkan perkhidmatan kepada rakyat tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Sementara itu, aspek pendigitalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan pula dilihat pemangkin hala tuju dan kecemerlangan perkhidmatan awam pada masa hadapan.

Justeru penggunaan teknologi dalam perkhidmatan kerajaan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi tuntutan sangat mendesak. Sejak pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkhidmatan dalam talian menjadi norma baharu masyarakat dan ini menuntut semua agensi kerajaan melipatgandakan usaha ke arah perkhidmatan pendigitalan yang efisien dan efektif.

Bermakna, lima prinsip S.W.I.F.T ini wajar diangkat sebagai aspirasi utama dalam memperkasa integriti dan imej penjawat awam, sekali gus memacu kecemerlangan setiap agensi awam.

Tarikh Input: 28/03/2022 | Kemaskini: 02/06/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
WXFZXAu~