Hapuskan Budaya Tunggu Dan Lihat | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Hapuskan budaya tunggu dan lihat

Hapuskan budaya tunggu dan lihat

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di UTUSAN MALAYSIA pada 5 Mac 2022.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM

PERKHIDMATAN awam adalah sebuah institusi terpenting dalam sistem pentadbiran kerajaan, justeru perlu sentiasa diperkasakan agar kekal relevan sepanjang masa.

Dalam konteks ini, empat fokus yang digariskan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baharu, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dalam majlis amanat sulungnya baru-baru ini, dilihat sangat signifikan dan tepat pada masanya untuk memeta hala tuju perkhidmatan awam yang jelas, memastikan terus kekal relevan dan memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan.

Empat fokus tersebut ialah menyegar semula penjawat awam, landskap baharu organisasi awam, perkhidmatan awam kalis masa hadapan dan bergerak bersama ke hadapan. Secara + lazimnya penjawat awam boleh datang dan pergi, namun keutuhan institusi perkhidmatan awam perlu terus dipertahankan dengan prestasi dan nilai integriti yang tinggi.

Oleh itu, setiap penjawat awam perlu memahami dan menghayati keempat-empat  fokus dan hala tuju perkhidmatan awam ini agar dapat bersama-sama berganding bahu melakukan perubahan besar.

Setiap ketua jabatan perlu menyusun strategi bagi mengorak langkah dan memeta hala tuju yang . jelas agar dapat memacu kecemerlangan organisasi masing-masing seiring hasrat Mohd. Shafiq.

Jujurnya, ketika ini negara memerlukan perkhidmatan awam yang paling cekap dan efisien supaya tidak tergendala sebarang inisiatif kerajaan dalam meningkatkan prestasi ekonomi negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.

Misalnya, kita perlu menginsafi bantuan diperlukan oleh rakyat yang terkesan baik akibat pandemik mahupun banjir yang melanda negara baru-baru ini. Perlu bertindak pantas dalam menghulurkan bantuan disediakan oleh kerajaan serta melaksanakan semua inisiatif yang telah diumumkan dengan segera.

Kepantasan di sini perlu merangkumi aspek pemikiran dan tindakan. lni selari dengan konsep menyegar semula penjawat awam. Dalam konteks ini, kakitangan kerajaan perlu sentiasa berusaha meningkatkan tahap kompetensi diri.

Ini penting untuk menyediakan perkhidmatan terbaik serta berpaksikan keperluan rakyat. Kita perlu memiliki ilmu pengetahuan luas, pemikiran dan tindakan strategik serta kemahiran menganalisis sesuatu situasi sekali gus memiliki kebijaksanaan menyelesaikan masalah yang mencengkam rakyat.

Untuk itu, diharap semua agensi awam dapat memberi fokus kepada aspek latihan dan penambahbaikan kemahiran dimiliki oleh warga kerja masing-masing agar mereka bersedia memberikan perkhidmatan bertaraf antarabangsa kepada rakyat dan negara.

 

PENDIGITALAN

Pada hakikatnya rakyat mahukan perkhidmatan awam yang efisien dan efektif. Dalam hal ini, ketua jabatan perlu sentiasa meneliti dan menilai perkhidmatan yang diberikan agar relevan dan memberikan hasil optimum kepada rakyat dan negara.

Misalnya, peraturan-peraturan yang ada perlu disemak semula mengikut keperluan semasa dan sentiasa bersedia membuat penambahbaikan dan terbuka untuk menerima cadangan baharu. Setiap agensi awam wajar mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan agar sesuatu peraturan mahupun dasar dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat sewajamya.

Justeru, diharap saranan Mohd. Shafiq supaya saiz, struktur dan fungsi dinilai semula dapat menangani masalah pertindihan dengan menjumudkan yang tidak relevan sekali gus membentuk landskap baharu organisasi awam.

Pada masa sama, aspek pendigitalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan juga wajar diangkat sebagai pemangkin hala tuju dan kecemerlangan perkhidmatan awam pada masa hadapan. Penggunaan teknologi dalam perkhidmatan kerajaan bukan lagi satu pilihan sebaliknya sudah menjadi tuntutan yang sangat mendesak.

Fokus ketiga, perkhidmatan awam kalis masa hadapan menggambarkan hasrat kerajaan yang mahukan setiap penjawat awam bersiap siaga menghadapi apa jua cabaran mendatang yang boleh memberi impak langsung kepada rakyat dan negara.

Jujurnya, kita tidak mahu penjawat awam mengamalkan budaya tunggu dan lihat, iaitu hanya menunggu sesuatu isu itu berlaku dan barulah kelam-kabut mencari jalan penyelesaian umpama sudah terhantuk baru tengadah.

Dalam konteks ini, idea Mohd. Shafiq yang mahukan penjawat awam menghayati konsep collaborative mindset yang menekankan kepentingan bekerjasama melalui penjanaan idea dan pelaksanaan tanggungjawab secara bersepadu serta menyingkirkan budaya kerja secara silo wajar diberi perhatian serius.

Setiap penjawat awam perlu memahami harapan kerajaan dan rakyat yang mahukan kita bersama-sama berganding bahu bergerak ke hadapan untuk memajukan negara dan mensejahterakan rakyat.

Dalam hal ini, kita tidak boleh membiarkan isu . yang sering menghantui perkhidmatan awam seperti rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa terus menjejaskan reputasi sektor awam negara ini.

Sudah tiba masanya kita memperbaiki masalah ini dari akar umbi dengan melakukan transformasi dan memperbetulkan keseluruhan ekosistem perkhidmatan awam seperti kata Mohd. Shafiq, perkhidmatan kita adalah tanggungjawab kita.

Tarikh Input: 28/03/2022 | Kemaskini: 28/03/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
WXFZXAk~