PSPK UPM SUMBANG BAJU RAYA KEPADA MURID SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH, CHOW KIT | CENTRE FOR CORPORATE STRATEGY AND RELATIONS
» NEWS » PSPK UPM SUMBANG BAJU RAYA KEPADA MURID SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH, CHOW KIT

PSPK UPM SUMBANG BAJU RAYA KEPADA MURID SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH, CHOW KIT

 

KUALA LUMPUR, 2 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) telah menyumbang baju raya kepada 125 murid Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit, disini hari ini.


Selain itu, PSPK turut memberi sumbangan kelengkapan pakaian harian dan kuih raya bagi berkongsi kegembiraan dan keceriaan bersama mereka dalam meraikan Aidilfitri yang bakal tiba.

 


SBJK merupakan sekolah yang diwujudkan bagi memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan dan terpinggir di sekitar ibu kota yang tercicir persekolahan.


Timbalan Pengarah PSPK UPM, Prof. Madya Dr. Moniza Waheed berkata sumbangan tersebut tidak hanya sekadar kelengkapan menyambut Hari Raya tetapi turut berkongsi empati dan kepedulian sesama manusia yang lebih memerlukan.

 


“Kegembiraan dan keceriaan sambutan Hari Raya Aidilfitri perlu dikongsi bersama setiap golongan tanpa mengira pangkat dan status masing-masing. Namun begitu, bagi golongan rentan ia mungkin hanya satu hari yang berlalu tanpa perasaan istimewa.


"Jadi, sumbangan ini secara tidak langsung memberi rasa istimewa Aidilfitri kepada murid-murid sekolah SBJK dan berkongsi kegembiraan yang untuk diingati mereka apabila memakai pakaian baharu ketika Aidilfitri.


"Ia juga membawa sinar kegembiraan kepada mereka yang mungkin tidak mempunyai keluarga untuk berkongsi kegembiraan tersebut," katanya ketika mewakili PSPK UPM ketika menyampaikan sumbangan Berilmu Berbakti.

 


Program dengan moto 'Satu pakaian, banyak senyuman: berikan dengan hati, berkongsi dengan jiwa' ini merupakan program yang berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebagai inisiatif PSPK menyokong program Putra Bakti UPM serta aktiviti jaringan komuniti dan industri.


Selain itu, program seumpama ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu yang dihadapi oleh golongan rentan atau anak-anak miskin kota yang tinggal di kaki lima dan kurang bernasib baik.

 


"Program sebegini mengajar nilai-nilai kasih sayang, kepedulian, dan kemanusiaan kepada generasi masa depan dalam kalangan masyarakat. Semoga sumbangan ini memberi impak positif kepada komuniti.


"Terima kasih juga kepada semua pihak khasnya Mydin Subang Jaya Hypermarket, Ashvertising Marketing, Embrodery Zone dan semua warga UPM yang sudi menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk serta menyokong program ini dan berkongsi rezeki kepada murid-murid SBJK," katanya. -UPM

Date of Input: 03/04/2024 | Updated: 03/04/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

CENTRE FOR CORPORATE STRATEGY AND RELATIONS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEeHA3~