Syor Semak Semula Sistem Gaji, Saraan Penjawat Awam | CENTRE FOR CORPORATE STRATEGY AND RELATIONS
» ARTICLE » Syor semak semula sistem gaji, saraan penjawat awam

Syor semak semula sistem gaji, saraan penjawat awam

**This article was published in Malay Language and has no translation in English**
**This article was published in BERITA HARIAN on 21 January 2022.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM

KERAJAAN pada ketika ini dilihat sangat cakna dan menitikberatkan kebajikan serta kesejahteraan seluruh ahli 'Keluarga Malaysia'. Justeru, berbekalkan semangat itu diharap kerajaan dapat meneliti secara serius keperluan untuk menyemak semula sistem penggajian dan saraan penjawat awam supaya dapat menyediakan gaji yang kompetitif, sekali gus memelihara kebajikan dan memacu kecemerlangan perkhidmatan penjawat awam.

Menurut Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, lebih 800,000 penjawat awam tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) berikutan sistem penggajian dan saraan tidak dikaji dan distruktur semula sejak 2002. Misalnya, penjawat awam dengan gred lantikan 19 masih memperoleh pendapatan bawah RM2,000 meskipun selepas menerima Bantuan Sara Hidup (COLA), Imbuhan Tetap Perumahan dan Elaun Khidmat Awam dan perlu diakui mereka ini terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Hakikatnya, penjawat awam adalah tulang belakang pentadbiran kerajaan. Misalnya, penjawat awam perlu menguruskan semua bantuan kepada pelbagai lapisan rakyat yang terkesan dengan krisis kesihatan serta ekonomi dicetuskan pandemik COVID-19, mangsa banjir serta memastikan segala inisiatif yang terangkum dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dilaksanakan secara cekap.

Oleh itu, tuntutan dan keperluan menambah baik sistem penggajian dan saraan penjawat awam tidak boleh dipandang rendah, sebaliknya perlu terus menjadi agenda utama pihak kerajaan demi kebajikan kelompok majoriti penjawat awam. Ironinya, banyak manfaat yang bakal diperoleh kerajaan dan juga rakyat jika penjawat awam disediakan gaji dan saraan yang kompetitif.

Antaranya, gaji dan saraan kompetitif yang lebih baik dan mampu menampung kos perbelanjaan yang diperlukan akan mengurangkan tekanan dihadapi penjawat awam, terutama golongan B40. Dengan ini mereka dapat keluar daripada desakan hidup seterusnya boleh fokus sepenuhnya kepada tugasan yang diamanahkan.

Ini satu perkara yang sangat penting untuk diteliti oleh pihak kerajaan kerana kos sara hidup pada ketika ini sangat tinggi yang mana harga barangan serta perbelanjaan harian terus meningkat, manakala wang tunai di tangan serta kuasa beli rakyat pula semakin mengecil. Akibatnya ramai penjawat awam terpaksa membuat kerja tambahan di luar waktu pejabat, termasuk waktu malam untuk menambah pendapatan.

Di samping itu, gaji yang lebih menarik juga diyakini mampu menangani dan mengurangkan masalah integriti yang membelenggu segelintir penjawat awam seperti isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Kita perlu melihat kemungkinan di mana ada sekelompok penjawat awam yang 'terpaksa' menerima rasuah kerana gaji yang diterima terlalu kecil dan tidak mampu menampung kos sara hidup sekeluarga.

Oleh itu, secara prinsipnya, pemerkasaan kebajikan penjawat awam melalui gaji dan saraan yang lebih kompetitif akan meningkatkan tahap motivasi untuk mereka memberikan sumbangan yang lebih signifikan kepada kerajaan dan rakyat.

Walaupun pelbagai inisiatif dan insentif sudah diberikan, termasuk bantuan khas kewangan 2022, namun kebanyakannya berbentuk jangka pendek dan bersifat sekali bagi (one-off) berbanding kenaikan gaji yang bersifat tetap. Malah ia juga boleh membantu meningkatkan kadar pencen untuk menampung perbelanjaan selepas persaraan kelak.

Selepas 20 tahun sudah tiba masa melaksanakan kajian secara menyeluruh terhadap sistem penggajian dan saraan yang ada kerana ia disifatkan sudah tidak relevan dengan kenaikan kos sara hidup. Mengambil kira sumbangan dan peranan besar penjawat awam dalam proses pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, khususnya kita berperang memerangi COVID-19, inilah masa terbaik untuk kerajaan menzahirkan penghargaan yang sewajarnya kepada seluruh penjawat awam.

Date of Input: 28/03/2022 | Updated: 02/06/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

CENTRE FOR CORPORATE STRATEGY AND RELATIONS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEaTAT~