Kenapa Gigih Mencari Sebab Untuk Bergaduh? | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Kenapa gigih mencari sebab untuk bergaduh?

Kenapa gigih mencari sebab untuk bergaduh?

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di Malaysia Kini pada 10 Januari 2020.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM

Gambar oleh Kementerian Pendidikan Malaysia

Sekali lagi kita diperlihatkan betapa sempitnya tahap pemikiran sebilangan besar anggota masyarakat melalui insiden kontroversi hiasan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 itu.

Ia sekaligus menzahirkan warna sebenar kita yang semakin hari semakin menebal dengan sikap prejudis dan perkauman.

Kalau dulu isu yang menyentuh soal agama dan bangsa sering ditakrifkan sebagai persoalan sensitif dan tidak diperdebatkan secara terbuka, tapi pada hari ini ia semakin menjadi kelaziman dalam masyarakat kita.

Jujurnya penulis rasa cukup kecewa dengan situasi pada hari ini apabila semua perkara dilihat dan dikupas dalam konteks agama dan bangsa yang sempit. Semua yang berlaku dijadikan alasan dan sebab untuk mencetuskan perbalahan anatara kaum.

Terimalah kenyataan bahawa tahap perhubungan kaum semakin mencemaskan, dan kini ia boleh diumpamakan senipis kulit bawang.

Selepas 63 tahun merdeka, adakah ini yang hendak kita dibanggakan dan akan diwariskan kepada generasi akan datang?

Jangan lupa betapa para pejuang kemerdekaan bersusah payah untuk membina jambatan perpaduan yang kuat untuk mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara ini selepas merdeka.

Janganlah kita mengkhianati apa yang mereka tinggalkan kepada kita.

Memasuki era Malaysia Baru, sepatutnya perubahan landskap politik negara membawa kita kepada dimensi segar dalam konteks perhubungan kaum.

Inisiatif untuk membina dan membangunkan bangsa Malaysia wajar menjadi agenda serta matlamat setiap individu di negara ini.

Malangnya naratif perhubungan kaum pascapilihan raya umum yang sedang dicorak cukup membimbangkan. Jelas sekali apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan atas tiket kebebasan bersuara sehingga menganggu gugat perpaduan kaum yang dibanggakan selama ini.

Isu-isu sensitif yang membabitkan agama dan bangsa terus didendangkan, dibahas dan diperdebatkan secara terbuka sehingga mengundang pelbagai persepsi dan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat terutamanya yang masih mencintakan keamanan dan kedamaian.

Akibatnya sikap prejudis terhadap rakan-rakan dari agama dan bangsa lain semakin membuak. Buktinya, kita boleh membaca komen-komen para netizen dalam media sosial yang umpama sudah menjadi medan pertelagahan antara kaum secara terbuka.

Komen dan ulasan yang dibuat adalah sangat sensitif sehingga ada yang tergamak mengeji agama dan bangsa lain dan ia kian menjad lazim di media sosial.

Sampai bila kita mahu membiarkan perkara ini berterusan? Apakah kita sanggup membiarkannya begitu saja sehingga ia bertukar menjadi pergaduhan sebenar?

Dan satu lagi soalan klise yang hendak saya utarakan ialah, apakah kita sudah bosan hidup dalam keadaan aman, tenang, tenteram dan selamat sehingga giat mencipta sebab untuk bergaduh?

Ayuh rakyat Malaysia, ini bukan sikap yang kita mahukan. Hargailah segala nikmat yang kita ada. Jangan esok menyesal apabila semuanya hilang begitu saja angkara tangan kita sendiri.

Ambil iktibar dengan pergaduhan dan perang saudara di negara luar yang menghancurkan mereka. Kita sudah merasai keperitan dijajah lebih 400 tahun, jadi sekarang adalah masa untuk kita membangunkan tamadun bangsa Malaysia.

Jangan biarkan sikap dan tindak tanduk kita sendiri menjadi penghalang kepada impian tersebut.

Soal agama dan bangsa adalah isu sangat sensitif. Oleh itu hentikan perdebatan secara terbuka sebaliknya sentiasa berbaik sangka dan mengutamakan kaedah rundingan dan perbincangan untuk menyelesaikan sebarang masalah atau ketidakpuasan hati.

Jangan biarkan mana-mana pihak dengan mudah mengambil kesempatan dan mencetuskan provokasi sehingga menjejaskan hubungan antara kaum.

Kita juga berharap pihak kerajaan akan lebih tegas dalam menangani isu perpaduan kaum ini. Tangkap dan jatuhkan hukuman yang setimpal kepada semua pihak yang cuba bermain api dan menghancurkan perpaduan yang ada.

Mari kita membina bangsa Malaysia yang terus bersatu padu, saling hormat menghormati dan sentiasa berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan juga kontrak sosial.

Tarikh Input: 10/01/2020 | Kemaskini: 17/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXDdWAO~