JANGAN ADA LAGI ANAK B40 TERCICIR | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » JANGAN ADA LAGI ANAK B40 TERCICIR

JANGAN ADA LAGI ANAK B40 TERCICIR

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di UTUSAN MALAYSIA pada 12 MAC 2022.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM

PENDIDIKAN dan ilmu pengetahuan adalah senjata mujarab yang mampu mengubah nasib hidup diri dan keluarga kita. Oleh kerana itulah walau sesusah mana sekalipun, ibu bapa akan berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat peluang pendidikan sewajarnya khususnya dapat menjejak kaki ke alam persekolahan seterusnya ke menara gading demi masa depan lebih baik.

Ironinya, akses pendidikan di negara kita pada hari ini jauh lebih baik berbanding tahun-tahun awal kemerdekaan apabila bilangan sekolah bertambah, jumlah anak-anak yang ' tercicir alam persekolahan juga boleh dikatakan semakin berkurangan sekali gus kadar literasi penduduk bertambah baik, iaitu sekitar 95 peratus.

Malah, kewujudan 20 universiti awam dan beratus institusi pendidikan swasta serta institut latihan teknikal dan vokasional membolehkan golongan cerdik pandai terus meningkat di samping kelompok yang mahir dan profesional dalam pelbagai bidang teknikal.

Bagaimanapun, usaha memperkasakan agenda pendidikan negara perlu terus dilaksanakan secara lebih aktif kerana negara memerlukan golongan berilmu pengetahuan tinggi serta memiliki kepakaran dan kemahiran untuk membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat. Sudah tentu kita mahu mencapai impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi melalui hasil kerja dan sumbangan anak tempatan sendiri dan tidak mahu lagi terlalu bergantung kepada kepakaran asing.

Hakikatnya, pendidikan mampu mengeluarkan rakyat kita dari garis kemiskinan dan menjalani kehidupan lebih baik. Anak-anak golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) misalnya, dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa dan menjalani kehidupan lebih baik jika memiliki tahap pendidikan lebih tinggi sekali gus meneroka peluang pekerjaan lebih terjamin termasuk menjadi usahawan.

Malah melalui pendidikan juga, kita dapat melahirkan generasi warganegara berbudi pekerti, kental dan memiliki daya tahan, kalis masa hadapan serta mempunyai semangat patriotisme tinggi untuk mengharungi apa jua cabaran mendatang. Ini penting kerana masa depan. negara ini bergantung kepada karakter anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara suatu hari nanti di mana karakter ini dibentuk baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT).

Justeru, langkah Kementerian Pengajian Tinggi memperkenalkan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) yang memfokuskan usaha membantu pelajar B40 menjadi individu pertama dalam·keluarga menjejak kaki ke menara gading wajar diangkat sebagai agenda utama pendidikan negara untuk mensejahterakan kehidupan seluruh Keluarga Malaysia. Hal ini penting kerana kita tidak mahu nasib keluarga B40 sekarang yang menjalani kehidupan umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang berterusan sehingga menyebabkan mereka cukup terdesak terutama dalam tempoh dua tahun ini disebabkan krisis ekonomi yang serius berpunca daripada serangan wabak Covid-19.

Pendidikan perlu dijadikan senjata penting untuk mengubah nasib keluarga seperti ini dan untuk itu, semua pihak perlu berganding bahu membantu menyediakan kemudahan dan inisiatif diperlukan. Misalnya, keunikan program Sulung adalah pelajar bukan sahaja dibantu diberikan laluan khusus kemasukan ke universiti awam tetapi turut ditawarkan biasiswa, asrama dan diberikan mentoring sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan.

 

VOKASIONAL

Jadi, ibu bapa B40 perlu menyedari kepentingan aspek pendidikan sekali gus merebut peluang ini dan memastikan anak mereka dapat menjejak kaki ke menara gading. Kita tidak mahu anak-anak B40 terus tercicir atau memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyambung pengajian.

Dalam hal ini, kita perlu membantu mewujudkan kesedaran kepentingan pendidikan kepada ibu bapa golongan B40 dan masyarakat luar bandar. Peranan ini boleh dipikul oleh guru dan pemimpin masyarakat yang mempunyai hubungan akrab dengan ibu bapa.

Pada masa sama, IPT termasuk institut latihan teknikal dan vokasional serta kolej dan universiti swasta juga disaran melaksanakan program penjelajahan melalui pendekatan turun padang mencari anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan dan menawarkan mereka peluang untuk menyambung pengajian dengan bantuan biasiswa dan kemudahan lain yang diperlukan.

Sebagai permulaan, projek khas seperti ini boleh dilaksanakan melalui kaedah program anak angkat, iaitu menjadikan sesebuah daerah atau kawasan sebagai tempat sasaran untuk mengenal pasti anak-anak dari keluarga B40.

Selain itu, bagi menyokong aspek kewangan atau penyediaan biasiswa, badan-badan korporat dituntut membantu menjadi pembiaya atau menyediakan biasiswa khas kepada anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan agar mereka tidak terlepas peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, seterusnya boleh berdikari dan mengubah nasib keluarga masing-masing. Bantuan ini boleh disalurkan melalui kerjasama dengan IPT berkenaan.

Jujurnya, pada hari ini tiada alasan untuk anak-anak kita terlepas peluang masuk universiti atau mana-mana institusi latihan teknikal dan vokasional kerana kerajaan menyediakan pelbagai platform dan program khusus. Maka terserah kepada ibu bapa dan anak-anak itu sendiri untuk menentukan hala tuju dan merebut peluang umpama hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Di samping itu, kita juga berharap kerajaan dapat meneliti dan menangani beberapa isu membabitkan zaman persekolahan yang masih mencengkam dunia pendidikan tanah air seperti isu silibus sekolah rendah yang padat, bilangan mata pelajaran yang banyak, isu beg sekolah yang berat serta keperluan untuk menaik taraf sekolah yang masih daif. Hal ini penting kerana masalah seperti ini boleh mempengaruhi kemenjadian murid serta menghalang usaha untuk anak-anak ini melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Tuntasnya, penekanan kepada aspek pendidikan, baik alam persekolahan mahupun pendidikan tinggi perlu menjadi keutamaan semua pihak demi masa depan rakyat dan negara, malah ia juga selari dengan nilai Keluarga Malaysia, iaitu menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga.

Tarikh Input: 28/03/2022 | Kemaskini: 28/03/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXDcTAW~