Andai Tunku, Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan Masih Ada | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Andai Tunku, Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan masih ada

Andai Tunku, Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan masih ada

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di Malaysia Kini pada 23 Januari 2020.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM

Menjelang sambutan tahun baharu Cina yang merupakan tahun tikus pada tahun ini, penulis termenung jauh memikirkan apalah nasib anak cucu kita dalam tempoh 10, 20, atau 50 tahun yang akan datang jika masalah perhubungan kaum yang ada sekarang masih berterusan.

Ironinya memasuki tahun yang ke-63 kemerdekaan negara tercinta ini, masalah perhubungan kaum dan perpaduan nasional bukan bertambah baik sebaliknya semakin meruncing dan mencemaskan.

Jujurnya hubungan keruh antara orang Melayu dan Cinalah antara yang cukup terkesan dan sentiasa berantakan serta membimbangkan.

Jangan kita terus hidup dengan nostlagia dan menafikan realiti kehidupan yang sedang kita harungi pada hari ini.

Selama ini baik dalam buku sejarah mahupun dalam pelbagai medium dan platform kita sentiasa berkongsi cerita tentang kehebatan pengorbanan dan jasa pemimpin terdahulu yang mewakili setiap kaum dalam merapatkan hubungan antara kaum ketika mencapai kemerdekaan.

Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan adalah antara figura yang sering kita jadikan contoh dan rujukan serta dijulang sebagai arkitek yang membina jambatan perpaduan yang diwariskan kepada kita.

Harus diingat kejayaan mereka menyatupadukan pelbagai etnik yang ada di Tanah Melayu ketika itu membolehkan kita memenuhi syarat British seteruskan memperoleh kemerdekaan.

Semangat dan roh mereka yang bersandarkan kepada kontrak sosial dengan satu matlamat yang utama iaitu mencapai kemerdekaan dari penjajah membolehkan generasi hari ini menikmati erti kebebasan yang sebenarnya.

Namun melihat kepada perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini, penulis sekali lagi termenung jauh memikirkan atau lebih tepat lagi tercari-cari mana hilangnya semangat dan roh pengorbanan yang Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan serta rakan-rakannya tinggalkan kepada kita?

Sebagai generasi yang mewarisi hasil kerja keras dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan ini apakah ini balasan yang mahu kita berikan?

Sedar atau tidak kita sudah merdeka sejak 1957, tiada siapa yang sedang menjajah kita dan kita adalah sebuah negara yang berdaulat dan bebas merdeka.

Tetapi adakah kita masih ingat sejarah lama dijajah lebih dari 400 tahun dan lebih tepat lagi apakah kita bersyukur dan menghargai apa yang sedia ada, diwariskan dan ditinggalkan kepada kita?

Bayangkan jika Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan masih hidup, apakah agaknya perasaan mereka melihat anak cucu mereka bersengketa, bertelagah dan gagal mempertahankan apa yang telah mereka bina dan tinggalkan kepada kita.

Penulis percaya jika mereka masih ada pasti akan mengalirkan air mata berdarah mengenangkan sikap dan tingkah laku kita yang semakin biadab, tidak bersyukur dan tidak menghormati kontrak sosial serta rukun negara yang telah dimeterai dan dipersetujui sebagai panduan hidup masyarakat majmuk negara ini.

Kita perlu jujur, bercakap benar dan mengakui kenyataan betapa rapuhnya perhubungan kaum di negara kita sekarang.

Semua isu yang dibangkitkan dikupas, dikunyah dan ditelan bulat-bulat dalam konteks perkauman.

Yang paling merisaukan ialah hubungan antara dua etnik terbesar iaitu, orang Melayu dan orang Cina.

Hal ini kerana terlalu banyak isu sensitif membabitkan kedua-dua kumpulan masyarakat ini mula muncul satu demi satu hingga mencetuskan provokasi dan perbalahan yang berpanjangan.

Belum selesai satu isu, tiba-tiba muncul isu lain pula sehingga kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam masyarakat kita?

Mana hilangnya semangat perpaduan dan tolak ansur yang kita banggakan selama ini?

Percayalah masyarakat semakin muak dan letih melayan kerenah hero-hero kaum tertentu yang cuba mengeruhkan lagi keadaan. Perbalahan orang Melayu dengan orang Cina misalnya jelas kelihatan dalam isu tulisan Jawi, Dong Zong, sekolah vernakular, kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu serta dalam konteks politik dan ekonomi secara keseluruhannya.

Masing-masing cuba memenangkan kaum sendiri sehingga mula mencetuskan perbalahan. Media sosial misalnya sudah lama bertukar menjadi medan peperangan antara kedua kelompok ini.

Pelbagai provokasi, kata-kata kesat termasuk menghina dan menghasut semakin berleluasa tanpa sedikitpun rasa malu mahupun takut.

Walaupun secara zahir dan kasarnya di permukaan kita nampak semuanya mungkin kelihatan baik dan harmoni, namun hakikatnya hubungan yang ada umpama retak menanti belah.

Jika ini dibiarkan begitu saja, percayalah jambatan perpaduan yang ada akan musnah dan hancur sama sekali.

Kita tidak menafikan masih ada yang saling hormat menghormati serta boleh hidup bersatu padu tetapi kita khuatir isu demi isu yang dibangkitkan boleh merebak dan memusnahkan segala-galanya.

Ironinya kita sudah ada kontrak sosial, rukun negara dan perlembagaan persekutuan yang wajar dijadikan rukun dan panduan hidup masyarakat majmuk, tetapi kenapa semakin hari semakin dilupakan semua panduan dan dokumen rujukan ini?

Jadi sebelum semuanya terlambat, bersempena dengan sambutan tahun baharu Cina tahun ini, marilah kita mulakan kempen “isytihar damai” sesama kita.

Buanglah jauh-jauh segala ego, dendam, kemarahan, salah faham, perbezaan ideologi serta kepentingan peribadi atau kaum tertentu, sebaliknya gantikan semua itu dengan budaya dan amalan terpuji yang diwariskan kepada kita iaitu, saling hormat-menghormati, bertolak ansur, mengutamakan perpaduan dan kepentingan negara.

Tuntasnya jom kembalikan semangat dan roh perpaduan yang telah diwariskan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan serta rakan-rakannya. Selamat menyambut tahun baharu Cina, gong xi fa chai.

Tarikh Input: 24/01/2020 | Kemaskini: 24/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXDdSAf~