Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019: Masa Untuk Negara Islam Bertindak | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019: Masa Untuk Negara Islam Bertindak

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019: Masa Untuk Negara Islam Bertindak

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di Solidaritas.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM

Kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (Sidang Kemuncak KL 2019) dengan menarik penyertaan beberapa pemimpin hebat dunia Islam seperti Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Presiden Iran, Hassan Rouhani boleh dianggap satu kejayaan yang cukup membanggakan. Walaupun ada pihak yang kurang senang dengan inisiatif kerajaan ini, namun jelas sekali ianya telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan memberikan erti yang cukup signifikan. Keberanian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan dan menganjurkan sidang ini dengan bertindak sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak KL 2019 wajar dipuji.

Ironinya Sidang Kemuncak KL ini berjaya menghimpunkan lebih dari 500 orang delegasi yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat Islam antarabangsa dalam satu platform atas matlamat untuk berbincang dan mencari penyelesaian baharu dan berkesan, dalam menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu dunia Muslim, dan berusaha menghidupakan semula tamadun Islam. Walaupun demikian, Dr Mahathir sendiri telah menegaskan ianya sama sekali tidak berhasrat untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Walaupun Sidang Kemuncak ini tidak melibatkan semua pemimpin negara Islam, namun usaha kecil ini wajar dilihat sebagai langkah awal untuk menyatukan ummah sekali gus memulihkan imej dan martabat Islam. Jelas sekali pada hari ini umat Islam di seluruh dunia cuba dilabel dan dikaitkan dengan pengganas dan keganasan. Misalnya penularan budaya Islamofobia telah menjadikan keadaan di Barat tidak lagi selamat bagi umat Islam dan sentiasa berada dalam keadaan tidak tenteram. Islamofobia sering dikaitkan dengan pandangan seperti Islam adalah sebuah agama yang mempromosikan keganasan dan agresif, Islam adalah agama yang tidak bertamadun serta Islam membenci Barat dan Islam memecah belah masyarakat dan negara.

Persidangan selama tiga hari telah memberikan fokus khusus kepada topik seperti ekonomi, sains dan teknologi, termasuk industri pertahanan. Beberapa cadangan yang telah diperdebatkan dalam sidang ini dilihat cukup menarik dan penting. Antara cadangan yang mendapat perhatian dalam mengukuhkan kerjasama serta kedudukan kewangan antara negara-negara Islam adalah termasuk penggunaan mata wang sendiri dalam pelaburan dua hala. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ketika perbincangan meja bulat menggesa negara-negara Islam menggunakan mata wang sendiri dalam perdagangan dengan negara Islam bagi mengelak tekanan mata wang asing. Iran pula mencadangkan mata wang kripto diperkenalkan untuk kegunaan dalam kalangan negara-negara Islam sebagai mata wang alternatif untuk perdagangan. Cadangan ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari pemimpin lain termasuk Dr Mahathir sendiri di mana melalui idea ini kita dapat menyelamatkan dunia Islam daripada “dominasi dolar AS”. Akhirnya ketika ucapan penutup, Dr Mahathir mengulangi cadangannya agar Dinar Emas, serta sistem barter digunakan dalam perdagangan sesama negara Muslim. Cadangan ini diyakini mampu membantu mengukuhkan kadar mata wang serta meningkatkan kekuatan ekonomi di kalangan negara terlibat, tanpa terlalu bergantung kepada sistem mata wang barat.

Dalam pada itu satu lagi cadangan menarik yang wajar dimendapat pertimbangan umat Islam seluruh dunia ialah, cadangan dari Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menggesa umat Islam antarabangsa bersatu dengan membeli produk yang dihasilkan dalam kalangan mereka bagi mengurangkan kebergantungan dengan negara barat. Beliau juga menyuarakan cadangan pembentukan blok perdagangan Islam yang boleh mewujudkan pasaran dagangan bersama negara-negara Islam. Jika ini berlaku kedudukan ekonomi umat Islam pasti akan lebih mengukuh dan terus membangun.

Ironinya bilangan umat Islam yang lebih dari 1.8 bilion serta dijangka mempunyai jumlah penganut paling ramai di dunia menjelang tahun 2070, adalah sangat merugikan jika kita tidak membentuk satu kesepakatan secara bersama untuk memajukan diri dan negara masing-masing. Hakikatnya pada hari ini umat Islam gagal untuk bersatu, bercakaran sesama sendiri dan gagal mewujudkan negara yang benar-benar kuat, stabil dan aman.

Akibatnya tiada satu pun negara Islam dianggap maju walaupun sangat mewah. Semua negara Islam kelihatan sangat lemah dan tidak terdaya dan mampu untuk melindungi umat Islam. Buktinya kita hanya mampu melihat kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap umat Islam Palestin serta kita masih berpeluk tubuh walaupun umat Islam Rohingya dan Uyghur diperlakukan seperti hamba dan dibunuh seperti binatang. Natijahnya kita dapat melihat ramai yang bergantung kepada negara-negara bukan Islam yang kuat, dan orang Islam melarikan diri dari negara sendiri untuk mencari perlindungan di negara-negara bukan Islam.

Jadi sudah tiba masanya umat Islam dunia bersatu untuk memajukan diri dan negara masing-masing di samping mengangkat kembali kegemilangan Tamadun Islam. Umat Islam perlu bangkit mempertahankan kesucian agama dari terus dipandang serong atas nama Islamofobia dan keganasan. Buktikan kepada masyarakat Barat betapa Islam adalah agama yang mencintakan keamanan dan kedamaian serta perhubungan yang baik sesama manusia merentasi agama, bangsa dan negara.

Semoga inisiatif dan usaha kecil Malaysia untuk membantu menyelesaikan pelbagai masalah ummah melalui penganjuran Sidang Kemuncak KL 2019 ini akan membuka mata, telinga dan minda semua pemimpin dan negara Islam terutamanya pertubuhan besar yang menaungi negara Islam seperti OIC supaya sedar dan terima kenyataan betapa kedudukan umat Islam semakin cemas, runcing dan membimbangkan. Jangan sesekali cuba menafikan kelemahan OIC dan negara-negara Islam yang kononnya maju dan mewah yang jelas sekali gagal untuk bertindak mempertahankan umat Islam yang sedang dizalimi. Ini bukan lagi masa untuk kita sekadar duduk berbincang, sebaliknya perlu ada strategi dan mula bertindak dengan efisien dan proaktif demi melindungi umat dan negara Islam seterusnya menjaga dan memelihara kesucian agama Islam secara keseluruhannya.

Tarikh Input: 10/01/2020 | Kemaskini: 10/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXDdQAM~