Raikan Kebersamaan Dan Pinggirkan Perbezaan Di 2020 | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Raikan kebersamaan dan pinggirkan perbezaan di 2020

Raikan kebersamaan dan pinggirkan perbezaan di 2020

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di The Malaysian Insight pada 1 Januari 2020.**

Oleh: En. Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM

HAKIKATNYA bukan mudah untuk hidup di sebuah negara yang penduduknya berbilang agama, bangsa dan latar belakang.

Justeru secara jujurnya setiap rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, serta pelbagai etnik minoriti yang lain wajar insaf dan menzahirkan rasa kesyukuran kerana di sebalik bermacam-macam dugaan dan cabaran kita masih terus dapat hidup dalam suasana yang tenang, aman dan selamat.

Ini adalah nikmat yang paling berharga dan percayalah tiada galang gantinya. 

Sejarah negara ini cukup panjang. Setelah lebih 400 tahun kita dijajah secara silih berganti, akhirnya detik kebebasan itu mengetuk pintu negara pada tanggal 31 Ogos 1957. Sejak detik itu kita tidak toleh ke belakang lagi.

 

Kita terus meluncur laju dengan penuh semangat dan keghairahan dengan azam dan tekad untuk membangunkan rakyat dan negara tercinta yang baru dibebaskan dari cengkaman penjajah. 

Terima kasih kepada semua perajurit dan pejuang kemerdekaan atas jasa, sumbangan dan pengorbanan kalian. Tiada negara bernama Malaysia pada hari ini jika tidak kerana perjuangan anda semua. 

Terima kasih juga kepada bapa-bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, V.T Sambanthan dan ramai lagi yang meletak batu asas dan mencorak hala tuju sebuah negara kecil yang baru memperoleh kemerdekaan.

Naratif kerjasama antara kaum dan kesepaduan sosial yang telah dicorakkan itulah telah merintis jalan ke arah pembinaan jambatan perpaduan yang kukuh antara semua kaum. 

Saya percaya memasuki usia 63 tahun dalam konteks membina sebuah tamadun dan negara masih terlalu muda dan baru. Tetapi kita bersyukur dalam jangka masa yang pendek ini kita telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan dan sudah keluar dari kategori negara miskin atau mundur.

Dengan status antara negara membangun yang cukup progresif, percayalah kita hanya tunggu masa untuk dinobatkan sebagai negara maju.
 
Namun rakan-rakan sekalian nampaknya perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan onak dan duri. Ironinya dalam kita ghairah mengejar status negara maju, jangan lupa masalah dan cabaran yang sedang mencengkam kita. 

Akibat terlalu lalai dan leka, akibat terlalu mementingkan diri dan cuba menjadi hero kaum, akibat tamak haloba, akibat lupa kontrak sosial dan akibat terlalu berpolitik dan tidak bersyukur dengan segala nikmat yang sedia ada, kelihatan kini sudah mula tercetus pelbagai masalah dalam negara kita. 

Sepatutnya pada hari ini seluruh rakyat bersatu padu tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan ideologi politik supaya dapat mengharungi isu besar seperti peningkatan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan matawang, kesukaran memiliki rumah, keluh kesah graduan yang sukar dapat kerja serta masalah sosial seperti dadah dalam kalangan belia yang semakin serius dan juga kepincangan yang merisaukan dalam institusi keluarga dan perkahwinan. Jika ini dapat dilakukan hasrat untuk membangunkan rakyat dan negara pasti terlaksana. 

Tapi malangnya memasuki tahun 2020 perhatian dan fokus kita semakin dipesongkan dengan masalah yang dicipta oleh sekelompok ahli masyarakat kita sendiri sehingga mula memudaratkan rakyat dan negara. 

Antara isu dalaman yang cukup merisaukan kita ialah, suhu politik yang semakin panas dan meningkat naik yang ditambah pula dengan masalah perpaduan antara kaum yang boleh diumpamakan hanya senipis kulit bawang. Jelas sekali dua perkara sensitif ini terus menghantui masyarakat kita. 

Walaupun peralihan kuasa dari Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) telah berlaku dalam suasana yang lancar dan tenang namun pelbagai peristiwa yang terus mewarnai garis masa pasca peralihan tersebut cukup mencemaskan.

Kebebasan berpolitik dan bersuara yang dirintis dalam konteks Malaysia baharu acapkali disalahguna oleh politikus yang mempunyai agenda tersembunyi. 

Misalnya sekarang kita sedang menyaksikan sebilangan ahli politik yang terus mempromosi dan memanipulasi agama dan kaum sebagai modal politik mereka. Budaya politik perkauman yang sedang disemai menggunakan kaedah provokasi ini begitu mudah melahirkan sifat kebencian dan prasangka buruk antara kaum.

Rakyat yang terikut dan terpengaruh dengan rentak tari sebegini menjadikan media sosial sebagai gelanggang untuk menyebarkan segala fitnah dan persepsi negatif. Natijahnya ketegangan dalam hubungan kaum sudah mula kelihatan di sana sini. 

Dalam pada itu tindakan sekelompok lagi anggota masyarakat yang umpama jolok sarang tebuan apabila dengan sengaja dan berterusan mempersoal dan mempertikai beberapa perkara sensitif yang terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam, bahasa kebangsaan, keistimewaan orang Melayu dan raja-raja Melayu pula mula meretakkan jambatan perpaduan yang ada. Jangan lupa isu tulisan Jawi juga terus mencetuskan polemik yang membimbangkan. 

Akibatnya keharmonian kaum yang kita banggakan selama ini mula mencetuskan tanda tanya. Jelas sekali defisit kepercayaan antara kaum kelihatan semakin menebal. 

Ironinya apa yang menyedihkan ialah semua masalah dalaman ini dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Ternyata kita bukan lagi berhadapan dengan penjajah atau musuh luar, sebaliknya musuh dalam selimut. Apa puncanya? 

Saya percaya situasi ini berpunca dari sikap dan tingkah laku kita sendiri yang tidak mahu bersyukur dan mempertahankan segala nikmat yang ada, malah lebih teruk lagi sama ada sedar atau tidak kita sedang berusaha keras untuk menghancurkannya dengan tangan kita sendiri. 

Justeru selepas 63 tahun apakah ini yang kita mahu banggakan?

Apa yang pasti memasuki tahun 2020, kita percaya cabaran ini akan menjadi lebih besar dan kompleks dan jika tidak ditangani dengan baik ianya boleh menghancurkan segala apa yang telah kita bina dan pertahankan selama ini. 

Ingatlah merdeka sekali tidak bermaksud akan kekal merdeka selama-lamanya. Kita perlu buktikan kita layak memperolehnya dengan berusaha untuk mempertahankannya. 

Jadi buanglah segala ego, perbezaan ideologi politik dan kepentingan peribadi yang ada. Ingatlah kekuatan kita adalah perpaduan yang kita bina selama ini. Janganlah kita hancurkannya. 

Mari kita berganding bahu membina Malaysia baharu dengan penuh keinsafan dan kesyukuran seterusnya mempertahankan segala nikmat yang ada. 

Seperti kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, ayuh mari kita raikan kebersamaan dan pinggirkan segala perbezaan yang mencetuskan perbalahan dan permusuhan. Selamat menyambut tahun baharu 2020. – 1 Januari, 2020.

Tarikh Input: 10/01/2020 | Kemaskini: 10/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXETCAK~