Manfaat Musim Cuti Sekolah | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » Manfaat Musim Cuti Sekolah

Manfaat Musim Cuti Sekolah

Oleh: Nur Sabrina Marzuki

 

 

Musim cuti sekolah amat dinantikan oleh semua anak-anak akan muncul tidak lama lagi. Pastinya terbayang wajah ceria dan jerit pekik mereka menikmati cuti sekolah mereka. Tidak ketinggalan ibu bapa turut teruja untuk mengatur aktiviti buat anak-anak sebagai pengisian cuti sekolah serta mengambil peluang bercuti bersama keluarga.

Bagi keluarga yang tinggal di luar bandar, mungkin peluang ini digunakan untuk menziarah keluarga yang tinggal di bandar dan sebaliknya. Namun, dalam kemelut keterjaminan makanan ini, masyarakat disaran agar lebih berhati-hati semasa merancang supaya tidak berlebihan dan cukup.

Selain itu, terdapat perkara lain juga yang perlu dipertimbangkan seperti faktor keselamatan. Tempat-tempat yang tidak menjamin keselamatan ahli keluarga perlu dielakkan. Begitu juga dengan perancangan perjalanan menuju destinasi yang dipilih, pastikan pemandu mendapat rehat yang cukup dan laluan yang mempunyai banyak kemudahan untuk berehat.

Jangan kita akhiri tahun 2023 dengan tangisan dan kehibaan atas kecuaian diri sendiri. Banyak telah kita lihat tragedi yang meruntun jiwa masyarakat terpapar di dada akhbar. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Walaupun begitu, peluang cuti sekolah ini juga boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mendalami akhlak anak-anak setelah ditinggalkan sewaktu kita bekerja. Pelbagai boleh dilakukan semasa berada bersama mereka di rumah. Melakukan kerja-kerja rumah atau meneroka aktiviti lain seperti asas pertanian di rumah banyak membantu ibu bapa mendalami akhlak anak-anak.

Hal ini demikian, remaja kini terdedah dengan gajet yang melekakan. Dengan dunia internet yang kian mencabar dan mudah dicapai dengan hujung jari memburukkan lagi keadaan ini. Pengaruh yang tidak sihat mudah mempengaruhi cara berfikir dan bertindak anak-anak. Pesan orang terdahulu, jika menuntut ilmu biarlah berguru, jadi, sebarang ketidakfahaman boleh dirujuk pakar yang lebih arif dan memberi kefahaman sewajarnya.

Antara lainnya, aktiviti ziarah keluarga terdekat juga lebih memberikan kebaikan kepada perkembangan anak-anak. Mendedahkan kepada kepentingan ikatan kekeluargaan mengajar erti adab selain bertukar pandangan tentang sesuatu perkara. Sekiranya anak-anak tidak ditekankan tentang pentingnya ikatan kekeluargaan, bimbang generasi ini akan terus hanyut dengan arus teknologi.  

Tarikh Input: 20/12/2023 | Kemaskini: 20/12/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
WXCdGAd~