UPM Anjur Sambutan Hari Alam Sekitar Negara, Promosikan Aktiviti Kelestarian | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» BERITA » UPM anjur Sambutan Hari Alam Sekitar Negara, promosikan aktiviti kelestarian

UPM anjur Sambutan Hari Alam Sekitar Negara, promosikan aktiviti kelestarian

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin dan Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Jurufoto: Mozaid Idris 

SERDANG, 31 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Seksyen Kelestarian dan Kampus Hijau, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah menganjurkan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat UPM 2023 untuk mempromosikan aktiviti kelestarian.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, langkah proaktif wajib diambil untuk mengurangkan pencemaran alam demi memulihara sumber asli dan memelihara ekosistem kita.

"Usaha yang dilakukan oleh UPM dengan melakukan program pelestarian pengurusan sisa di kampus ini dapat mengurangkan tenaga dan sumber yang diperlukan untuk menghasilkan produk baharu.

"Pengurusan sisa di kampus dapat membantu mengalihkan sisa dari tapak pelupusan sampah, sekali gus mengurangkan kemudaratan alam sekitar yang terhasil daripadanya.

"UPM merupakan kampus lestari yang komited dalam tanggungjawab untuk mempromosikan amalan pengurusan sisa dari tapak pelupusan dalam komuniti dan terutamanya dalam kampus kita, dan menjadikan pengurusan sisa sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan seharian kita," katanya.

Sementara itu, Pengarah, Bahagian Komunikasi Strategik, JAS, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Azuri Azizah Saedon berkata, kedudukan UPM yang mendapat tempat teratas di antara institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia dalam UI Green Metrik menjadikan UPM sangat sesuai bagi pelaksanaan Projek Perintis Kampus Lestari ini.

"Menerusi program ini, diharapkan mahasiswa dan mahasiswi dapat membuka mata untuk memainkan peranan yang besar dalam usaha memastikan pengurusan dan pembudayaan alam sekitar yang lestari, khususnya di peringkat kampus," katanya.

Dalam pada itu, pengisian menarik program antaranya Forum Pelestarian Pengurusan Sisa di Kampus: Cabaran dan Peluang, Perkongsian Projek Perintis Kampus Lestari UPM dan lawatan tapak ke Mini Pameran Projek Perintis Kampus Lestari UPM.

Terdapat tiga Projek Perintis Kampus Lestari UPM yang telah dilaksanakan antaranya pengkomposan sisa makanan timbunan statik berudara (ASP), pengurusan sisa elektronik (e-waste), serta pengitaran sisa bahan binaan fizikal sebagai alternatif penghasilan elemen-elemen kejur bagi kegunaan seni bina landskap.

Turut hadir, Pengarah, PSPK, UPM, Dr. Dahlia Zawawi, dan Pengerusi, Jawatankuasa Induk Kelestarian Kampus Hijau, UPM, Dr. Suhardi Maulan.

Tarikh Input: 02/11/2023 | Kemaskini: 02/11/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXEOAAK~