PSPK UPM Galak Pengasingan Sisa Makanan Dan Penggunaan Bekas Mesra Alam Sempena Jamuan Raya | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» BERITA » PSPK UPM Galak Pengasingan Sisa Makanan dan Penggunaan Bekas Mesra Alam Sempena Jamuan Raya

PSPK UPM Galak Pengasingan Sisa Makanan dan Penggunaan Bekas Mesra Alam Sempena Jamuan Raya

Oleh: Nur Aqielah Fausi

 

 

Serdang, 6 Mei 2025 – Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil langkah proaktif dalam mempromosikan amalan kelestarian menerusi penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri pada 24 April 2025 yang berlangsung di perkarangan pejabat PSPK, UPM.

 

 

Selaras dengan komitmen terhadap penjagaan alam sekitar, majlis ini mengetengahkan inisiatif pengasingan sisa makanan serta larangan penggunaan plastik sekali guna. Inisiatif tersebut bertujuan mendidik warga kampus mengenai kepentingan pengurusan sisa dan gaya hidup lestari.

 

Para tetamu diminta mengasingkan sisa kepada dua kategori utama, iaitu sisa makanan dan sisa bekas makanan. Sisa makanan merangkumi lebihan makanan seperti nasi, lauk-pauk dan kuih-muih, manakala sisa bekas makanan merangkumi cawan, pinggan kertas dan pembungkus makanan mesra alam yang telah digunakan.

 

Langkah pengasingan ini bukan sahaja memudahkan proses pelupusan dan pengkomposan bahan organik, malah dapat mengurangkan lambakan sisa ke tapak pelupusan, sejajar dengan matlamat kampus hijau UPM.

 

 

Selain itu, penggunaan plastik sekali guna tidak dibenarkan sepanjang majlis berlangsung. Sebagai alternatif, para tetamu dan urus setia disarankan menggunakan bekas mesra alam seperti paper box tray, cawan kertas dan sudu garpu biodegradasi.

 

Menurut Puan Shazwani Izyan Ayub, Ketua Seksyen Kelestarian dan Kampus Hijau UPM, usaha ini diharap dapat menyemai kesedaran dalam kalangan warga kampus tentang pentingnya amalan kelestarian dalam kehidupan seharian. "Amalan ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian universiti, malah boleh dijadikan contoh dan diterapkan dalam penganjuran majlis lain pada masa akan datang," ujar beliau.

 

PSPK UPM komited untuk terus memperluas pendekatan lestari dalam setiap program yang dianjurkan, selaras dengan aspirasi universiti dalam membudayakan kelestarian sebagai sebahagian daripada identiti kampus.

Tarikh Input: 13/05/2025 | Kemaskini: 13/05/2025 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
S, (08:11:58am-08:16:58am, 21 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]