PSPK Mengadakan Taklimat QS World University Rankings By Subject 2023 | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» BERITA » PSPK Mengadakan Taklimat QS World University Rankings by Subject 2023

PSPK Mengadakan Taklimat QS World University Rankings by Subject 2023

SERDANG, 18 Mei 2023 – Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat telah mengadakan taklimat berkaitan QS World University Rankings by Subject 2023 yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 Mei 2023. Objektif taklimat ini adalah untuk membentangkan pencapaian Universiti Putra Malaysia (UPM) secara keseluruhan, pencapaian UPM dalam bidang Engineering, Natural Sciences, Life Sciences, Art and Humanities dan Social Sciences and Management di samping membincangkan strategi bagi meningkatkan kedudukan UPM dalam penarafan dunia ini.

Taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Prof. Madya Dr. Dahlia Zawawi ini melibatkan semua ahli pengurusan setiap fakulti dan sekolah di UPM.

Antara pencapaian terbaik UPM dalam QS Rankings by Subject 2023 ini adalah kedudukan UPM dalam subjek Sains Veterinar (Veterinary Science) apabila disenaraikan dalam ranking ke-46 terbaik dunia seterusnya menjadikan subjek ini berada pada ranking pertama di Malaysia dua tahun berturut-turut. Manakala, subjek Pertanian dan Perhutanan UPM berada pada ranking ke-74 terbaik dunia seterusnya mengekalkan kedudukan ranking pertama di Malaysia bagi tempoh 11 tahun berturut-turut.

Kewujudan Hospital Perubatan Veterinar serta Muzium Anatomi Haiwan dilihat antara penyumbang utama kepada pencapaian ini, selain Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar serta Fakulti Perubatan Veterinar sememangnya adalah fakulti pengasas semenjak UPM memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973.

Pencapaian keseluruhan UPM dalam QS World University Rankings by Subject 2023 merangkumi 24 subjek yang berjaya tersenarai dalam ranking ke-400 terbaik dunia dan 13 daripadanya berada dalam kelompok ranking ke-200 terbaik dunia.

Merujuk kepada kaedah penilaian QS World University Rankings by Subject 2023 ini, terdapat lima indikator penilaian iaitu Academic Reputation, Employer Reputation, Citations per Paper, International Research Network (IRN), dan H- Index. Walau bagaimanapun pemberat bagi setiap subjek yang dinilai adalah berbeza-beza mengikut lima (5) bidang utama.

Maklumat lanjut keputusan QS World University Ranking 2023 boleh didapati melalui laman web: https://www.topuniversities.com/subject-rankings/2023

Tarikh Input: 22/05/2023 | Kemaskini: 22/05/2023 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXDdWAU~