PENUBUHAN PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» BERITA » PENUBUHAN PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI

PENUBUHAN PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI


SERDANG, 26 November – Jawatankuasa Pengurusan Universiti Putra Malaysia (JPU UPM) melalui mesyuaratnya yang ke-528 pada 19 November 2014 telah meluluskan cadangan penstrukturan semula Pejabat Pemasaran dan Komunikasi dan Bahagian Perancangan Korporat dengan menubuhkan Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi atau singkatannya CoSComm, berkuatkuasa pada 26 November 2014.

Melalui penstrukturan tersebut, CoSComm UPM ditadbir seorang Pengarah, Timbalan Pengarah dan dua Ketua Bahagian untuk melaksanakan fungsi utama perancangan strategik dan korporat. Dua bahagian yang membentuk struktur penting CoSComm ialah Bahagian Perancangan Strategik dan Bahagian Perhubungan Korporat.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Haji Ramlan, berkata penstrukturan CoSComm adalah sebahagian daripada inisiatif UPM untuk projek kejat yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan fungsi aktiviti korporat universiti yang diterajui oleh dua entiti berbeza sebelum ini.

“CoSComm adalah penamaan semula nama Pejabat Perancangan Strategik dan Korporat sepertimana diluluskan oleh Mesyuarat JPU ke-525 pada 24 September 2014 yang lalu, iaitu hasil penggabungan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi dan Bahagian Perancangan Korporat yang berkuatkuasa pada 1 Oktober 2014. Penamaan semula nama pejabat ini dibuat pada bulan November setelah melihat kesesuaian dan fungsi baharu yang akan diterajui oleh CoSComm,” katanya ketika mengulas tentang rasional penstrukturan dua entiti tersebut.

Beliau juga mengumumkan pelantikan pegawai utama CoSComm, iaitu YBhg. Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris sebagai Pengarah, YBhg. Prof. Dr. Mansor Ahmad@Ayob sebagai Timbalan Pengarah, Ketua Bahagian Perancangan Strategik, En. Abdullah Arshad, dan Ketua Bahagian Perhubungan Korporat En. Fahmi Azar Mistar.

Sementara itu, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Haji Ramlan juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Dr. Nur Kamariah Noordin, Prof. Madya Dr. Shameem Rafik Khan dan En. Ludinata Misnan selama berkhidmat masing-masing sebagai Pengarah Perancangan Korporat, Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi dan Ketua Bahagian Pemasaran dan Komunikasi.


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXDdWAD~