KERANGKA BAHARU KERJASAMA UNIVERSITI DAN INDUSTRI BOLEH MENINGKATKAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN | PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
» ARTIKEL » KERANGKA BAHARU KERJASAMA UNIVERSITI DAN INDUSTRI BOLEH MENINGKATKAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN

KERANGKA BAHARU KERJASAMA UNIVERSITI DAN INDUSTRI BOLEH MENINGKATKAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Oleh Prof. Dr. Azali Mohamed
Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di Asia TVET Experts Forum 2018 (ATEF2018), kerajaan ingin melibatkan lebih ramai pemain industri dalam usaha memperkasakan pendidikan negara. Dengan mengambil contoh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk lima tahun akan datang, kerajaan akan memberikan lebih banyak ruang dan peranan kepada industri dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri.

Dalam konteks sebelum ini,  industri sering memberikan maklum balas terhadap kebolehpasaran graduan IPT dalam aspek penguasaan kemahiran, bahasa dan ilmu mutakhir. Terdapat juga industri yang memberikan input kepada IPT bagi memperbaiki pelaksanaan kurikulum universiti dalam merangka strategi terbaik untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Namun begitu, tanggapan meletakkan beban sepenuhnya kepada universiti bagi menyediakan graduan ‘market ready’ perlu dikikis.  

Isu Kebolehpasaran Graduan

Walaupun pelbagai inisiatif yang telah diambil yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, namun laporan Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan tahun 2017 meningkat sebanyak 1.8% sahaja iaitu daripada 77.3 peratus bagi tahun 2016 kepada 79.1 peratus bagi tahun 2017.

Peningkatan tersebut begitu kecil jika dibandingkan dengan pelbagai inisiatif yang telah diambil  melibatkan kos yang besar. Data tersebut juga menunjukkan bahawa graduan yang tidak berkerja adalah melibatkan lebih daripada 20 peratus daripada jumlah keseluruhan graduan.

Berdasarkan Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah serta Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Malaysia 2016, satu pertiga daripada penganggur adalah terdiri daripada mereka yang berkelulusan di peringkat tertiari.

Kaedah kerjasama dan Kolaboratif Baharu antara IPT dan Pihak Industri

Terdapat tiga cadangan baharu kepada pihak berpentingan untuk melihat semula pelaksanaan model sebelum ini yang melibatkan lebih daripada 20 peratus graduan yang masih belum bekerja. Perkara ini juga tidak mengambil kira 79.1 peratus graduan yang memperolehi pekerjaan pada tahun 2017 sama ada pekerjaan adalah setaraf dengan kelulusan akademik ataupun lebih rendah.

Cadangan pertama iaitu:

  1. Penstukturan Semula Latihan Industri (LI)

Pada ketika ini, semua IPT telah melaksanakan Latihan Industri (LI) sebagai salah satu komponen penting dalam kurikulum pengajian akademik di IPT. Namun, antara isu yang begitu kritikal ialah sebahagian IPT melaksanakan LI di pertengahan pengajian.

Ini bermakna selepas tamat LI, pelajar akan menyambung beberapa semester pengajian mereka di IPT sebelum bergraduat. Terdapat juga pelbagai organisasi yang ingin mengambil terus pelajar selepas tamat LI untuk berkerja secara sepenuh masa namun tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekangan pelajar yang perlu melengkapkan baki semester di IPT.

Pelajar yang sama juga berpotensi menganggur selepas bergraduat dan perlu mencari semula pekerjaan hingga merugikan pelajar dan industri. Sepatutnya semua pelajar IPT menjalani LI pada tahun akhir dan di sinilah  peranan industri untuk memastikan pelajar LI tersebut diserapkan secara sepenuh masa.

Antara langkah yang boleh diambil bagi kerajaan ialah untuk memberikan insentif kepada organisasi yang menyerapkan pelajar tersebut melalui Human Resources Development Fund (HRDF) yang disalurkan kepada organisasi yang menyediakan LI hingga akhirnya organisasi akan memperolehi sebahagian daripada kos yang dibelanjakan.

  1. Inovasi antara Industri dan IPT

Kerajaan baharu melalui Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan menawarkan lebih banyak geran kepada industri untuk projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada tahun hadapan. Melalui subsidi kerajaan kepada industri, mereka boleh menyumbang kembali kepada pembangunan bakat atau modal insan di IPT. Peluang ini seharusnya digunakan oleh industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menyumbang kepada dana penyelidikan untuk pelajar pasca siswazah.

Ini merupakan salah satu inisiatif murni  kerajaan  melibatkan lebih banyak industri yang berkerjasama dengan  universiti. Namun, dalam konteks mutakhir terhadap keperluan industry, bukan setakat industry berkolaboratif bersama universiti tetapi harus berada satu bumbung dengan universiti.

Mengambil contoh perubahan arus teknologi masa kini dengan berkembangnya Industri 4.0 di seluruh dunia, terdapat lebih keperluan untuk industri membuat lebih banyak lab penyelidikan di dalam kampus dan membawa lebih ramai tenaga pakar industri untuk berkerjasama dengan tenaga akademik dan pelajar dalam menghasilkan inovasi baharu dalam teknologi masa kini.

Perkara ini telah banyak dilaksanakan di negara lain khususnya Jerman sebagai pelopor pelaksanaan Industri 4.0. Organisasi diJerman sebahagiannya telah membuat lab dan tenaga pakar dengan beberapa universiti terkemuka Jerman antaranya Technical University of Munich dengan Google dalam membuat penyelidikan bersama artificial intelligence, machine learning dan robotic.

Tanpa inovasi, negara berhadapan kesulitan dalam menjana pendapatan menerusi sumber baharu. Kita harus mengambil ikhtibar pengalaman Alibaba  mengembangkan perniagaannya melalui gabungan penggunaan teknologi terkini, kreativiti pemasaran dan produk mampu menerjah halangan globalisasi bagi menepati citarasa pengguna yang semakin canggih. Universiti pula mempunyai kekuatan dan kepakaran yang membolehkan industri menggunakan ahli akademik untuk membantu inovasi produk serta perkhidmatan mereka. 

  1. Hubungan antara Universiti dan Industri

Dalam konteks hubungan universiti dan industri, pelbagai kerjasama telah dilaksanakan antaranya turut melibatkan pertandingan reka cipta dan inovasi produk berkaitan dengan keperluan industri yang boleh membantu kreativiti pelajar untuk terlibat sama dalam R & D sejak mereka belajar di IPT.

Selama ini umum mengetahui sektor industri hanya menyokong usaha kebolehpasaran graduan melalui temuduga terbuka pekerjaan di dalam kampus yang sepatutnya pada masa kini dipergiatkan dengan meluas di kolej-kolej kemahiran dan kolej-kolej berskala kecil.

Pegawai utama industri juga harus pro aktif menawarkan diri memberi ceramah secara percuma subjek berkaitan kepada pelajar-pelajar di universiti tanpa perlu menunggu jemputan rasmi IPT atau lantikan sebagai profesor adjung dan ceramah umum.

Industri disaran memberikan lebih banyak biasiswa kepada pelajar kerana selama ini hanya industri yang besar dan mapan saja yang menawarkan biasiswa. Selain biasiswa, hadiah kepada pelajar cemerlang mengikut subjek boleh diberikan dengan lebih giat oleh pihak industri sebagai perangsang dengan menghubungi IPT pilihan mereka.

Dari sudut keusahawanan, industri boleh menjemput pelajar untuk terlibat dalam perniagaan supaya dapat memahami dunia pemasaran sebenar. Peluang latihan industri juga harus menumpu aspek operasi dan strategik kepada pelajar IPT. Mereka yang telah menunjukkan bakat semasa latihan industri wajar diserapkan selepas tamat pengajian.

Dalam menongkah arus perubahan masa kini,  universiti dan industri perlu berganding bahu dalam merealisasikan hasrat murni kerajaan baharu untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran graduan di peringkat industri. Dengan kerangka kerjasama dan kolaboratif baharu  IPT dan industri ini, ianya  akan dapat mempertingkatkan secara signifikan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kebergantungan graduan di sektor awam.

Tarikh Input: 08/10/2018 | Kemaskini: 08/10/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT STRATEGI DAN PERHUBUNGAN KORPORAT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 6021/6009
-
SXDcSAW~